Perkembangan Jangkitan COVID-19 (29 Januari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 288 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 48,307 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini iaitu satu (1) kes di daerah Papar dan satu (1) kes di daerah Kota Kinabalu. Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 468 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 44,407 orang. Sejumlah 2,424 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 749 orang di hospital, 1,655 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 20 orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 84 orang dan 26 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada pertambahan zon merah direkodkan pada hari ini.

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu dilaporkan:

i Kluster Tinanom, Ranau melibatkan 22 lagi kes positif COVID-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 46 kes. Kes indeks merupakan pelajar yang dikesan positif melalui saringan masuk asrama.

ii. Kluster Jalan Sepanggar, Kota Kinabalu hari ini mencatatkan 10 kes baharu dikesan menjadikan kes kumulatif sebanyak 12 kes. Kes indeks dikesan melalui saringan bergejala pada 26 Januari 2021.

Daripada 288 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 208 kes (72.2%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 30 kes (10.4%), saringan kluster baharu dan sedia ada 26 kes (9.0%), saringan komuniti dua (2) kes (0.7%), saringan PERKESO lapan (8) kes (2.8%) dan 14 kes (4.9%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,084 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 4,332 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula kekal 1,100 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 6,516 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 37.20%.