Perkembangan Jangkitan COVID-19 (17 Januari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 393 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 43,644 kes. Tiada kematian direkodkan.

Pada hari ini, seramai 337 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 39,326 orang. Sejumlah 2,949 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 766 orang di hospital dan 2,185 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 84 orang dan 21 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Tiada penambahan zon merah direkodkan.

Terdapat dua kluster baharu dicatatkan iaitu :

i. Kluster Jalan Mawila di Kota Kinabalu dengan 14 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks dikesan melalui kes saringan rentas negeri pada 13 Januari 2020 melibatkan seorang penjawat awam.

ii. Kluster Taman Ikan Jinak di Tuaran dan Kota Belud dengan 18 kes menjadikan jumlah kumulatif 21 kes. Kes indeks merupakan kontak rapat kepada menantu dari Beaufort yang menghadiri hari keluarga pada 2 hingga 3 Januari lalu, di Taman Ikan Jinak Tuaran. Aktiviti saringan dan mengenal pasti kontak masih giat dijalankan.

Daripada 393 kes positif COVID-19 yang direkodkan, sebanyak 222 kes (56.5%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 74 kes (18.8%), saringan kluster-kluster sedia ada 36 kes (9.2%), saringan ladang (PERKESO) 21 kes (5.3%), saringan pelajar masuk asrama 8 kes (2%) dan 32 kes (8.2%) adalah daripada lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,036 unit. Manakala, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam pula berjumlah 4,633 unit. Jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara pula kekal 1,100 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,769 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 43.57%.

Pada hari ini, sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang baharu telah mula beroperasi iaitu Dewan Belia Kunak dengan kapasiti 40 katil.