Perkembangan Jangkitan COVID-19 (15 Januari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 514 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 42,802 kes. Dua kes kematian direkodkan pada hari ini masing-masing satu (1) kes di Putatan dan Kota Kinabalu. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 370 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 38,610 orang. Sejumlah 2,868 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 786 orang di hospital dan 2,082 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 75 orang dan 18 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada penambahan zon merah dicatatkan.

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu dilaporkan iaitu :

i. Kluster Ladang Baturong di daerah Kunak yang mencatatkan sebanyak 44 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54 kes.
ii. Kluster Ladang Matamba, di daerah Lahad Datu yang merekodkan 4 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 20 kes.

Daripada 514 kes positif COVID-19 yang direkodkan, sebanyak 314 kes (61%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 80 kes (15.6%), saringan kluster-kluster baharu dan sedia ada 62 kes (12.1%), saringan komuniti lima (5) kes (1%) dan 53 kes (10.3%) dari lain-lain kategori.

Kes positif COVID-19 pada hari ini meningkat kepada 514 disebabkan saringan yang dijalankan secara besar-besaran oleh pengurusan ladang melalui PERKESO di Ladang Baturong Kunak dan Ladang Matamba, Lahad Datu.

Bagi kluster Ladang Baturong, daripada 212 saringan yang dijalankan, 10 orang didapati positif COVID-19. Manakala, 44 kes lagi direkodkan daripada saringan kontak rapat.

Bagi kluster Ladang Matamba Lahad Datu, sebanyak 20 kes positif telah dikesan. Aktiviti siasatan serta pengesanan kontak masih lagi giat dijalankan oleh pihak pengurusan ladang.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,039 unit.
Manakala, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam pula berjumlah 4,593 unit. Jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara pula kekal 1,100 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,729 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 42.62%.

PKRC Institut Kemahiran MARA (IKM), Kota Kinabalu telah ditutup secara rasmi pada hari ini.