Perkembangan Jangkitan COVID-19 (03 Januari 2021)

Perincian Daerah

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 316 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 37,869 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan iaitu masing-masing satu (1) kes di Daerah Penampang dan Lahad Datu. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 229 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 35,383 orang. Sejumlah 1,752 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,109orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 55 orang dan 14 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Pitas dan Kota Marudu bertukar dari zon kuning ke zon jingga, manakala Daerah Kudat berubah dari zon jingga ke zon merah.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu dilaporkan di Daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Lintas Seraya mencatatkan sebanyak tiga (3) kes menjadikan jumlah kumulatif 15 kes. Kluster ini melibatkan dua (2) daerah iaitu Kota Kinabalu dan Penampang. Kes indeks telah dikenal pasti melalui saringan bergejala dan melalui siasatan mendapati kluster ini berpunca dari majlis sosial (makan malam perayaan krismas) di sebuah restoran di Lintas.

Daripada 316 kes positif COVID-19 yang direkodkan, sebanyak 239 kes (75.6%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 40 kes (12.7%), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 7 kes (2.2%), saringan komuniti 4 kes (1.3%) dan 26 kes (8.2%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 948 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,445 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,393 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 27.40%.