Perkembangan Jangkitan COVID-19 (12 Disember 2020)

Perincian Daerah

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 429 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 32,495 kes. Empat (4) kes kematian dicatatkan iaitu tiga (3) kes di Daerah Sandakan dan satu (1) kes di Daerah Tuaran. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.


Pada hari ini, seramai 281 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 29,204 orang. Sejumlah 1,846 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 609 orang di hospital dan 1,237 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 61 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Beluran bertukar dari zon merah ke zon jingga

Terdapat satu (1) kluster baharu dilaporkan di Daerah Tawau iaitu Kluster Bukit Gemuk mencatatkan dua (2) kes hari ini menjadikan kumulatif 10 kes. Kluster ini dikesan melalui saringan kontak dari indeks yang bergejala.

Jumlah kes yang tinggi hari ini juga berpunca dari saringan Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal yang merekodkan sebanyak 112 kes.

Daripada 429 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 213 kes (49.7%) adalah berpunca dari saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada, 124 kes (28.9%) dari saringan kontak rapat di 14 daerah, saringan bergejala 44 kes (10.8%), saringan komuniti 23 kes (5.3%) dan 25 kes (5.8%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,029 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,566 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,595 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 27.99%.