Perkembangan Jangkitan COVID-19 (31 Mac 2021)

Perincian Daerah
Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 69 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,767 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Tawau. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.
Jumlah pesakit COVID-19 discaj dari hospital / sembuh ialah 39 menjadikan jumlah kumulatif 53,930 orang. Seramai 428 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 200 orang di hospital dan 228 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 27 orang dan 14 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Daerah Penampang berubah dari zon jingga ke zon kuning manakala Lahad Datu berubah dari zon jingga ke zon merah.
Kehadiran dalam majlis-majlis sosial adalah antara penyumbang utama kepada peningkatan penularan kes wabak COVID-19 di negeri ini. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menasihatkan masyarakat khususnya pihak penganjur majlis supaya lebih bertanggungjawab dan mempastikan SOP Majlis Sosial yang ditetapkan dapat dipatuhi sepenuhnya.
Pada hari ini, dua (2) kluster baharu direkodkan iaitu:
Kluster Kg Baru Pasir Putih di Tawau dikesan pada 27 Mac 2021 hasil saringan rentas negeri ke atas kes indeks yang hendak ke Wilayah Persekutuan Labuan. Turut disahkan positif COVID-19, dua (2) orang anak kepada kes indek pada tarikh sama. Berdasarkan penelitian, kes indeks yang merupakan seorang lelaki pernah pulang ke Tawau bagi menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Baru Pasir Putih yang dihadiri 244 jemputan. Setakat ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah lapan (8) kes dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih giat dijalankan.
Kluster Kg Rimbayan di Keningau pada hari ini menambah sembilan (9) lagi kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 15 kes. Kes indeks dikesan positif melalui saringan rentas negeri (RTK Antigen) ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 17 Mac 2021. Saringan kontak rapat mendapati 14 kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan jiran yang hadir majlis pengebumian di Kampung Rimbayan pada 10 hingga 12 Mac 2021. Aktiviti saringan kontak dan kawalan masih dijalankan.
Daripada 69 kes positif COVID-19, sebanyak 41 kes (59.4%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, tujuh (7) kes (10.1%) saringan bergejala, 18 kes (26.1%) dari kluster baharu dan sedia ada serta tiga (3) kes (4.4%) dari lain-lain kategori.