Perkembangan Jangkitan COVID-19 (26 Februari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 129 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 52,595 kes. Satu (1) kes kematian direkodkan pada hari ini iaitu di daerah Papar. Takziah diucapkan kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 132 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 51,184 orang. Pada hari ini juga sejumlah 800 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 283 orang di hospital, 509 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan lapan (8) orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 38 orang dan 13 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Daerah Putatan berubah dari zon merah ke zon jingga. Manakala Daerah Tongod berubah dari zon kuning ke zon hijau.

Peningkatan kes pada hari ini disebabkan oleh Kluster Sinsingon di Nabawan yang kini merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes positif COVID-19. Kluster ini juga dikesan telah menular ke daerah lain iaitu Kota Kinabalu dengan tiga (3) kes dan Keningau dua (2) kes.

Pada hari ini, satu (1) kluster baharu direkodkan.

Kluster Merotai Besar di Daerah Kalabakan pada hari ini mencatat enam (6) kes baharu menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 26 kes. Kes indeks merupakan penolong penyelia kedai di Mukim Merotai yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di salah sebuah pusat perubatan di Tawau pada 16 Februari 2021. Susulan kes itu, saringan kontak rapat dan tempat kerja mendapati 26 lagi kes positif yang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan sekerja kepada kes indeks. Pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan.

Daripada 129 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 61 kes (47.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 11 kes (8.5%), saringan kluster baharu dan sedia ada 46 kes (35.7%) dan 11 kes (8.5%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di hospital COVID-19 sebanyak 785 unit, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam berjumlah 3,913 unit dan jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara pula 1,000 unit. Ini menjadikan jumlah kapasiti katil ialah 5,698 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 14.04%.