Perkembangan Jangkitan COVID-19 (21 Januari 2021)

Perincian DaerahBerdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 401 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 45,409 kes. Dua (2) kes kematian direkodkan hari ini, iaitu di daerah Lahad Datu. Takziah diucapkan kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 380 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 40,929 orang. Sejumlah 2,935 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 837 orang di hospital, 2,079 orang di PKRC dan 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 80 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Tiada penambahan zon merah dicatatkan.

Pada hari ini, dua (2) kluster baharu dilaporkan:

i. Kluster Ladang Sebrang, Lahad Datu dengan sembilan (9) kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 21 kes. Kes indeks dikesan melalui saringan bergejala pada 9 Januari 2021 di Klinik Kesihatan Silabukan, Lahad Datu. Saringan kontak rapat dan tempat kerja mendapati 20 kes positif COVID-19 berjaya dikesan di kilang memproses sawit itu.

ii. Kluster Silimpopon, Kalabakan juga melibatkan industri perladangan dengan lima (5) kes dikesan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes. Kes indeks merupakan pekerja buruh di sebuah syarikat perladangan di Silompopon dan telah disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 6 Januari 2021 di klinik swasta. Saringan kontak rapat dan tempat kerja pula mendapati 28 lagi kes positif. Saringan kontak rapat masih giat dijalankan.

Daripada 401 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 232 kes (57.9%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 83 kes (20.7%), saringan kluster baharu dan sedia ada 25 kes (6.2%), saringan PERKESO, 13 kes (3.2%), saringan pelajar masuk asrama sembilan (9) kes (2.3%) dan 39 kes (9.7%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,100 unit. Manakala, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam pula berjumlah 4,584 unit. Jumlah katil di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara pula kekal 1,100 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,784 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 43.26%.